Sunday 5 August 2012

Kelebihan Umat Nabi Muhammad S.A.W

PERTAMA: Kita sebagai Umat akhir zaman

- Allah S.W.T telah memilih kita sebagai umat akhir zaman di mana tidak ada umat lain yang akan dijadikan Allah selepas kita. Namun, ketika di padang mahsyar kelak, Allah akan menyusun semua umat manusia dari zaman Nabi Adam hinggalah ke zaman Nabi Muhammad S.A.W mengikut saf-saf dan Allah telah memilih umat Nabi Muhammad untuk berbaris di saf yang pertama walaupun umat Nabi Adam merupakan umat yang pertama dijadikan Allah. Ini merupakan bukti kasih dan sayang Allah kepada umat Nabi Muhammad kerana tidak mahu Umat Nabi Muhammad berada terlalu lama di Padang Mahsyar. Cuba kita bayangkan berapa lama umat manusia perlu berada di padang mahsyar kerana beribu juta manusia akan dihisab seorang demi seorang oleh Allah dan Allah telah memilih umat Muhammad untuk dihisab terlebih dahulu.


KEDUA: Mendapat pahala yang berkali ganda

- Kebaikan yang umat Nabi Muhammad lakukan akan dibalas dengan berlipat kali ganda. 1 amalan dibalas dengan 10 kebaikan. Renungilah betapa sayangnya Allah terhadap umat Nabi Muhammad berbanding dengan umat-umat terdahulu.


KETIGA: Syafaat Nabi Muhammad

- Nabi Muhammad S.A.W merupakan satu-satunya Nabi yang dapat memberi syafaat kepada umatnya di akhir zaman kelak. Begitu beruntungnya kita menjadi umat Nabi Muhammad S.A.W. Umat yang terdahulu tidak mempunyai pembela, penolong dan sebagainya tetapi kita umat Nabi Muhammad S.A.W diberi keistimewaan oleh ALLAH untuk menerima syafaat daripada Nabi junjungan kita Muhammad S.A.W. Namun, cuba kita lihat berapa ramai yang malu untuk mengaku kita kasih dan sayang kepada Nabi junjungan kita, Muhammad S.A.W.


KEEMPAT: Penangguhan seksaan di dunia

- Umat Nabi Muhammad tidak akan diseksa oleh Allah sehinggalah tiba hari akhirat kelak. Nabi Muhammad S.A.W telah memohon kepada Allah supaya memberi peluang kepada umatnya sehingga tiba hari pembalasan untuk bertaubat kepada Allah. Cuba kita renung kembali keadaan umat-umat terdahulu yang dihapuskan oleh Allah dari muka bumi ini kerana kesalahan-kesalahan yang dilakukan. Betapa untungnya kita kerana masih diberi peluang oleh Allah untuk meminta keampunan darinya-NYA selagi mana nyawa tidak terpisah dengan jasad. Begitu besar kelebihan kita sebagai umat Nabi Muhammad.


KELIMA: Malam lailatulqadar

- Umat Nabi Muhammad merupakan satu-satunya umat yang diberikan oleh Allah satu malam yang menyerupai 1000 bulan iaitu malam lailatulqadar. Maha Suci Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Diberikan kita peluang-peluang yang sangat tidak ternilai harganya untuk dikumpul sebagai bekalan di ahirat kelak. Betapa beruntungnya kita digelar umat Nabi Muhammad S.A.W. الله اكبر


Rusydi Ramli Al-Jauhari. (2012). Biografi Agung Rasullullah Sallallahu Alayhi Wasallam. Kuala Lumpur: Must Read Sdn. Bhd.

1 comment:

Feel free to leave your comment