Saturday 17 December 2011

Tanpamu ibu, tanpamu guru

Lumrah insan sering diulit mimpi
Mencari yang indah nan tiada celanya
Biarpun diri nan sentiasa ditemani dosa
Tiadakah ruang yang menyuarakan rasa bersalah
Pada mereka yang sering berkorban rasa
Memendam duka si air mata

Hati kecil ini meronta tanpa henti
Seolah mengerti persoalan nurani
Adilkah aku menguntai mimpi
Bersama jiwa-jiwa yang pernah ku calari

Suatu ketika dulu
Jauh berdetik ratapan ibu
Mengharap si anak jadi orang kebanggaan
Menjerih pedih hati guru
Inginkan anak didiknya maju ke hadapan
Namun
Tidakkah terdengar dek ratapan ibuku
Kurangkah bimbingan dari guruku
Hingga daku alpa meniti waktu
Menurut hati bertuankan nafsu

Ibu
Tatkala ku kecundang merentas hidup
Kau hadir di sisiku
Tanpa mengenal penat dan waktu

Guru
Ketika ku hanyut dalam kegagalan
Kau hadir menebar harapan
Yang dulunya mitos dalam kamus hidupku
Kini umpama fantasi jadi realiti
Peribadi indah disanjung tinggi
Prestasi ulung menjulang visi
Daku menongkah arus yang dahulu
Agar tercipta dunia yang baru
Buatmu ibu, guru dan diriku

Ku insafi khilafku ini
Seandainya tiada kemaafan yang diberi
Tiadanya pedoman mengurus diri
Akan daku terus begini

Tiada ibu tiada guru
Tiadalah daku manusia berilmu
Padamu teman daku berpesan
Pelbagai cabaran pasti mendatang

Jika kehampaan jadi santapan
Maniskan ia dengan keredhaan

Darinya ibu beserta guru
Ini panduan buat pengakhiran
Berpaksikan iman cahaya benderang
Bertunjangkan nafsu menjurus kehancuran


*Puisi ini dipetik daripada majalah sekolah saya iaitu Al-Misykat (Edisi ke-19)(2010) dan telah diubahsuai sedikit mengikut kesesuaian.*


No comments:

Post a Comment

Feel free to leave your comment